Kerana Gilakan Gajet, Anak Kurang Kemahiran Bersosial.

KUALA LUMPUR: Kegilaan anak muda termasuk kanak-kanak menonton filem secara berterusan menerusi internet memberi kesan ketagihan ketara hingga menjejaskan proses tumbesaran disebabkan kurang kemahiran bersosial.

Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2018, mendapati golongan muda berusia bawah 20-an hingga 30-an antara paling ramai menggunakan Internet dengan kapasiti penggunaan enam hingga lapan jam sehari.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asma Md Isa, berkata laporan menyatakan aktiviti sedemikian menimbulkan kegusaran ibu bapa berhadapan anak yang tidak gemar beriadah di luar.

Beliau berkata, aktiviti perlu dibendung kerana memberi kesan tidak sihat untuk pertumbuhan minda bagi tempoh jangka panjang.

“Aktiviti bukan hanya menjejaskan proses tumbesaran malah pada masa sama, khuatir keadaan berlarutan menyebabkan mereka kurang kemahiran berinteraksi.

“Penggunaan telefon pintar antara faktor penyumbang permintaan program TV dalam talian, keadaan diburukkan dengan kemunculan syarikat menggunakan platform Over The Top (OTT) media yang membolehkan penonton menyaksikan drama bersiri tanpa henti.

“Dengan kata lain, menonton program televisyen bersiri dalam talian diistilahkan sebagai menonton maraton atau binge-watching,” katanya.

Beri kesan kepada penonton

Beliau menambah, tabiat menonton bersiri berjam-jam memberi kesan kepada penonton, khususnya pelajar dan remaja.

Kajian sekumpulan pakar komunikasi Profesor Madya Bridget Rubenking dari Nicholson School of Communication and Media, Florida, Amerika Syarikat (AS), mendedahkan ibu bapa di AS bimbang dengan fenomena ini.

“Tempoh menonton yang lama memberi kesan negatif, terutama aspek kognitif, emosi dan psikomotor. Kognitif membabitkan pengetahuan, kefahaman dan pemikiran kritikal.

“Aspek efektif merujuk bagaimana seseorang bertindak balas secara emosi seperti nilai, kemahiran bersosial dan perkembangan emosi. Psikomotor keupayaan memanipulasi instrumen secara fizikal atau ringkasnya kemahiran motor,” katanya.

Sememangnya tabiat menonton secara maraton mencetuskan seronok yang mendorong penonton untuk menekan ‘butang klik’ selepas menonton episod drama ke satu episod yang lain.

Namun, tidak ramai mengetahui perasaan seronok itu wujud kerana otak merembes hormon dopamine yang lama-kelamaan membuatkan penonton ketagih menonton tanpa henti.

Asma berpendapat, tidak ramai remaja dan orang muda menyedari menonton secara maraton dalam talian menggunakan gajet membawa kesan negatif kepada mereka.

“Cahaya skrin gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet menyebabkan mata tidak mengantuk. Ini kerana tindak balas hormon serotonin dalam otak meningkat.

“Ini membolehkan mereka menonton drama bersiri secara maraton dengan purata tontonan melebihi 2.5 jam hingga 2.7 jam sehingga kesan negatif akibat kekurangan tidur seperti kurang fokus kepada pembelajaran.

“Apatah lagi, pengambilan makanan berlebihan hingga bertambahnya berat badan. Ini berlaku kerana penonton mempunyai kecenderungan mengunyah makanan ringan ketika menonton.

“Apa yang lebih bahaya, tabiat ini menyebabkan kesan jangka panjang yang boleh menyebabkan serangan jantung,” katanya.

Kredit : www.bharian.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*